Wednesday 14 March 2012

Keluhan Pesara

GAJI PEMBANTU RUMAH RM 700
PENCEN PESARA RM 220

Membaca pendapat Dr Rusinah Siron di sudut forum (Utusan Malaysia) pada Isnin 12/3/2012 mengenai gaji RM 700 kepada pembantu rumah, ada wajarnya direnungkan bersama khasnya pihak yang memperjuangkannya atas nama mengambil hati jiran serumpun.

Jika diteliti dari segala sudut, memang tidak logik ianya dinaikkan dan ditetapkan ke figura RM 700 olih kuasa tertentu (gaji bersih), sedanghkan tugasannya tidak seteruk mana pun.

Bagaimana pula dengan keputusan sebuah kementerian yang menetapkan gaji minima RM 700 kepada pengawal keselamatan ?   (mungkin telah dibentangkan ke mesyuarat kabinet).   Adakah telah dilaksanakan ?   Kelompok inilah yang sepatutnya diperjuangkan tetapi sehingga kini khabarnya masih menerima gaji bulanan RM 300 – RM 350.

Ada satu lagi kumpulan yang wajar diberikan perhatian olih pihak kerajaan jika benar Rakyat Didahulukan, yaitu Kumpulan Pesara.   Samada tidak disedari atau terlepas pandang, terdapat sebahagian pesara yang menerima bayaran pencen bulanan  RM 220 setelah beberapa kali kenaikan (mengikut tempias kenaikan gaji pejawat awam) yang pada mula persaraannya hanya RM 180.   Adakah ini logik dengan suasana kehidupan sekarang ?

Dalam akhbar tarikh yang sama juga saya terbaca ramai pejawat awam menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sewajarnya ia disambut baik kerana berkaitan dengan mereka yang masih bekerja.  

Bagi pesara seperti saya (mungkin ramai lagi yang senasib) hanya dapat menelan air liur.   Tidak berapa lama dulu (mungkin dalam pembentangan bajet 2011) kerajaan menaikkan bayaran pencen kepada RM 750 (kepada pesara kerajaan yang berkhidmat melebihi 25 tahun dan menerima bayaran pencen dibawah RM 500), tetapi terlepas pandang kepada pesara yang menerima bayaran pencen bulanan dibawah RM 300 dan berrkhidmat kurang 25 tahun akibat pengswastaan.   Ini berlaku keatas diri saya yang ketika itu (November 1992) Jabatan Penerbangan Awam (DCA) diswastakan menjadi Malaysia Airports Berhad (MAB).   Berikut adalah catatan tarikh perkhidmatan saya :
          Januari  1969  hingga   Januari 1985    -   berkhidmat dalam tentera (ATM)
          Januari  1985  hingga  November 1992 –   berkhidmat dengan DCA
          November 1992 hingga Januari 2005   -   berkhidmat dengan MAB

Pada 20 Februari 2010 saya ada membuat permohonan Bantuan Orang Tua (BOT) di Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sandakan (089-667821) dengan nombor daftar 2033.   Sepanjang tempoh tersebut hingga sekarang saya menghubungi jabatan berkenaan melalui panggilan telefon dan menghadirkan diri ke jabatan berkenaan, bertanyakan samada permohonan diluluskan atau tidak dan bila lawatan ke rumah kediaman akan dibuat.   Bermacam jawapan saya terima dari kakitangan tersebut.   Antara jawapanya : Tunggulah ikut giliran, tiada kenderaan untuk buat lawatan ke rumah-rumah, kurang kakitangan, tempat kediaman termasuk dalam zon yang akan dilawati tak lama lagi, permohonan tahun lalu masih banyak belum diproses terpaksa didahulukan. Kakiitangan dijabatan berkenaan juga memaklumkan sistem permohonan sekarang termasuk lawatan kerumah kediaman pemohon, tidak seperti sebelumya hanya diatas kertas.   Bahkan pertanyaan pada januari 2012 memberikan jawapan, permohonan akan diproses dalam tahun ini (bukan bulan ini).

Masalah ini (kerenah birokrasi) telah saya ajukan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan memberi jawapan melalui email pada 26 November 2010 memaklumkan akan dipanjangkan ke pihak terlibat dan akan dibalas secepat mungkin.

Sungguh malang, sehingga menterinya Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil  pada 11 Mac 2012 mengumumkan akan mengundur diri sebagai menteri berkanaan pada 08 April 2012, jawapan yang dijanjikan tidak kunjung tiba dan permohonan saya tetap sepi.  Ada khabar yang tidak sedap didengar mengatakan kalau permohonan nak cepat diluluskan ada caranya, cerita lama lah ! (?).   Tak perlulah saya sebutkan disini kerana tiada bukti nyata, tetapi, pokok tak kan bergoyang kalau tiada angin.  Untuk membuktikannya kenalah pihak atasan turun padang dan menyamar sebagai pemohon bantuan (cara yang dilakukan olih Allahyarham Ishak Tadin mantan Pengerus Besar KTMB dengan menyamar sebagai pekerja peringkat bawah dan turut membaiki landasan keretapi).   Dalam suasana kemajuan sekarang agak sukar bahkan tidak terserlah pegawai berjawatan tinggi bahkan pak menteri sekalipun yang sanggup melupakan kerusi empok seketika untuk bermandi peluh seperti yang diteladankan olih Allahyarham Tun Hj Abdul Razak Hussin, memasuki relong sawah dengan menyembur racun serangga, menabur baja dan menuai secara manual bersama rakyat.

Masalah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) lain pula halnya,   pada 10 Disember 2011 saya telah mengisi borang berkenaan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sandakan dan menyerahkan semula dihari yang sama (serahan tangan) kepada kakitangannya.

Pada 13 Februari 2012 saya bertanya keputusan permohonan tersebut kepada seorang kakitangan LHDN berkenaan tetapi jawapannya mengecewakan dengan mengatakan pengisian borang tidak lengkap.   Disini timbul persoalan, andainya boring diisi tidak lengkap mengapakan semasa penyerahannya pada 10/12/2011 tidak dimaklumkan terus ?   Saya perhatikan kakitangan yang menerimanya menyemak dan membuat penelitian (hanya selembar borang saja) bahkan ia juga ,memberikan keratannya sebagai bukti penyerahan (tak kan mungkin kakitaangan LHDN tidak cekap atau komitmen dengan tugasnya).  Tarikh 13 Februari 2012 saya menerima surat daripada Kementerian Kewangan Putrajaya (BR1M/P/P184/N/N42 bertarikh 02 Februari 2012) dengan jawapan Tidak Memenuhi Syarat Kelayakan.   Pada 31/1/2012 saya diarahkan oleh dua kakitangan LHDN Sandakan untuk mengisi borang permohonan yang baru (rayuan), harapan saya tiada lagi kerenah birokrasi yang remeh.

Sekian, terima kasih dan wassalam.

RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

(Nama Pena untuk disiarkan)
SUBIMA
Sandakan, Sabah




(Nama Sebenar)
SURADI BIN MOHD ARIFF
MyKad 500128015481
Tel: 089-224809
Pesara ATM
Pesara DCA
Pesara MAB